Identiti mangsa rentung Honda City dikenal pasti

Oleh – Syeikh Baran


Identiti mangsa rentung Honda City dikenal pasti
KEADAAN kereta Honda City yang rentung dalam kebakaran mengorbankan seorang lelaki di Teluk Intan semalam.

Identiti mangsa rentung dalam nahas jalan raya di Kilometer 24, Teluk Intan-Bidor di sini semalam, telah dikenal pasti hari ini.

Mangsa adalah A. Mughilan berusia 28 tahun dari Teluk Intan yang pemandu kereta jenis Honda City.



 

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, maklumat kemalangan tersebut diterima pihaknya pada pukul 11 malam.

Katanya, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Teluk Intan ke Bidor sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam parit dan terbalik.

“Kemalangan itu menyebabkan kereta dipandu mangsa terbakar dan pasukan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran.

“Pemeriksaan di dalam kereta kemudian menemukan mangsa dalam keadaan rentung. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.



Menurut beliau, pengecaman ke atas mayat lelaki itu telah dilakukan bapa kandungnya pada pukul 10 pagi hari ini dan kenderaan terlibat akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.

“Siasatan sebenar punca kemalangan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syamil Abd. Manan di talian 011-10065817 bagi membantu siasatan,” ujar beliau.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button