Lelaki OKU didakwa merompak guna pistol tiruan

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki OKU didakwa merompak guna pistol tiruan
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

Seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) berdepan hukuman penjara 20 tahun dan sebat selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan pistol tiruan, Mei lalu.

Tertuduh, Mohamad Firdaus Md. Nor, 33, yang cacat tulang belakang bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.



Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama yang telah dituduh didakwa dengan niat telah melakukan rompakan berkumpulan bersenjatakan sepucuk pistol tiruan dan melarikan wang tunai sebanyak RM550 milik Kevin Fong Tze Weng, 39.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 7.21 malam di sebuah kedai menjual barang serbaneka di Jalan TPH 1 Taman Tambak Paya Harmoni dalam daerah Melaka Tengah, 6 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar barang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan sebat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun mencadangkan RM30,000 dikenakan sekiranya mahkamah ingin menggunakan budi bicara, selain syarat-syarat tambahan.



Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan rendah diberikan dengan alasan dia merupakan OKU fizikal dan mempunyai tiga orang anak berusia 7, 6 dan 1 tahun, yang kini ditanggung isteri.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 23 September depan untuk serahan dokuman dan lantikan peguam.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button