Pempengaruh media sosial dicekup pecah rumah bekas suami
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pempengaruh media sosial direman enam hari selepas dipercayai memecah masuk rumah bekas suaminya di Desa Rahmat, di sini.
Perintah reman bermula hari ini terhadap wanita berusia dalam lingkungan 20-an itu dibenarkan Majistret Amin Rashidi Ramli.
Permohonan reman itu dibuat bagi membolehkan wanita tersebut disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.
Terdahulu, tular video rakaman siaran langsung di TikTok memaparkan seorang wanita melondehkan kisah rumah tangganya bersama bekas suami serta madunya yang juga pempengaruh popular dari Kelantan.
Menerusi video tersebut, wanita terbabit mendakwa dia sering dikasari oleh bekas suaminya selain dipaksa melakukan perbuatan tidak senonoh bersama bekas madu.
Wanita itu juga dipercayai menceritakan hal dalam kainnya bersama bekas suami yang merupakan pemilik pusat kecergasan sehingga mendapat kecaman pelbagai pihak.
Sumber – KOSMO! ONLINE