Pemuzik jalanan sebar ajaran Millah Abraham kepada anak masuk jel

Oleh – Syeikh Baran


Pemuzik jalanan sebar ajaran Millah Abraham kepada anak masuk jel
NORASID (baju putih) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar kepercayaan bertentangan agama Islam berkaitan ajaran Millah Abraham kepada anak lelakinya. Foto oleh NOR SHAFAWATI YUP/KOSMO!

Seorang pemuzik jalanan dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas mengaku bersalah kerana menyebarkan ajaran Millah Abraham kepada anak lelakinya.

Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa menjatuhkan hukuman itu ke atas Norasid Md. Said, 50, selepas meneliti hujah pihak pendakwaan dan menimbang rayuan tertuduh.



Norasid didakwa mengajar ajaran itu kepada anak lelakinya yang berusia 16 tahun di Felda Palong 3, Gemas pada pukul 8 hingga 11.59 malam antara 1 hingga 30 Jun 2023

Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019. Jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu Norasid dalam rayuannya memohon hukuman penjara ringan dan memberitahu mahkamah sekiranya didenda dia tidak mampu membayarnya.

“Saya mohon hukuman diringankan jika dihukum penjara. Jika dikenakan wang jaminan tinggi saya tidak mampu sebab tidak bekerja dan menanggung keluarga,” katanya.

Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Abdul Wafi Ramli memohon mahkamah mengenakan hukuman lebih berat atas faktor mengajar ajaran salah adalah kesalahan berat berkaitan kesucian agama Islam.



Abdul Wafi berkata, berdasarkan modus operandi pengembangan ajaran Millah Abraham dari Indonesia itu tertumpu kepada ajaran melalui keluarga.

“Pada 11 Julai lalu, tertuduh juga disabitkan bersalah mengajar ajaran ini (Millah Abraham) kepada isterinya dan hari ini pertuduhan mengajar ajaran sama kepada anak lelakinya,” katanya.

Selain itu, Norasid tidak mengaku bersalah atas pertuduhan mengajar ajaran salah kepada seorang wanita berusia 46 tahun berkaitan ayat al-Quran yang berlawanan dengan hukum syarak di Taman PBGF Harmosi, Gemas pada pukul 5 petang, 24 April 2023 di bawah Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992 pindaan 2019.
 
Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button