4 suspek samun di Lebuh Raya Kesas diberkas

Oleh – Syeikh Baran


4 suspek samun di Lebuh Raya Kesas diberkas
Tangkap layar rakaman dashcam yang tular di media sosial sejak semalam.

Empat suspek cubaan samun sebuah kereta berhampiran stesen minyak di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), di sini, berjaya diberkas petang semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kesemua suspek yang merupakan lelaki warga tempatan itu ditahan menerusi operasi yang dijalankan kira-kira pukul 5.30 petang.



Katanya, suspek berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya.

“Suspek turut memiliki pelbagai rekod jenayah dan dadah itu ditahan di sekitar Klang dan Shah Alam.

“Sebuah kereta jenis Nissan Almera, sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 dan enam telefon bimbit turut dirampas,” katanya dalam kenyataan awal pagi tadi.

Jelas beliau, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam hari ini bagi permohonan reman.



“Kita percaya kesemua suspek ini adalah individu yang terlibat dalam kejadian cubaan samun berkenaan sebagaimana yang dilaporkan oleh mangsa.

“Polis menghargai usaha orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga kesemua suspek berjaya ditumpaskan.

“Orang ramai dialukan untuk sentiasa menyalurkan maklumat berkaitan kes jenayah kepada pihak polis,” ujarnya.

Semalam Kosmo! melaporkan polis sedang giat mengesan empat lelaki dipercayai cuba menyamun sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di kawasan berkenaan.



Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian terbabit daripada seorang lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai juruteknik pada pukul 1.37 pagi.

Mangsa dipercayai cuba disamun oleh sekumpulan lelaki yang bersenjatakan kayu.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button