Barang kes RM1.5 juta dilupuskan
Oleh – Syeikh Baran
Polis Petaling Jaya melupuskan lebih RM1.5 juta nilai barang kes yang dirampas termasuk bunga api, mesin melombong mata wang kripto, kontraban, mesin perjudian serta kelengkapannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sejumlah 7,668 barang dirampas melibatkan 918 kertas siasatan.
Jelasnya, kertas siasatan itu dibuka antara 2009 hingga 2024.
“Secara keseluruhannya, kami merampas 1,822 barang am seperti pisau, parang, batang logam, peralatan elektronik, dan dokumen seperti laporan forensik dan kimia bernilai RM40,000,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pelupusan Barang Kes Ibu Pejabat Polis (IPD Petaling Jaya) di Balai Polis Ara Damansara, di sini, hari ini.
Pelupusan tersebut disaksikan oleh Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Sazlina Safie dan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar.
Beliau berkata mereka juga merampas 631 bunga api bernilai RM10,000, 2,111 batang rokok dan alkohol bernilai RM160,260.
“Selain itu, kami merampas 531 mesin melombong wang kripto dan peralatannya bernilai RM480,000 serta 2,573 mesin perjudian dan barangan lain bernilai RM547,000 serta wang tunai sebanyak RM149,108.50, pelbagai barang kemas, dan RM650 dalam wang kertas palsu,” katanya.
Tambah beliau, wang kertas palsu akan dilupuskan sementara wang tunai dan barang kemas diserahkan kepada Perbendaharaan Negara.
Dalam perkembangan lain, Hussein menegaskan pihaknya akan menghebahkan identiti seorang lagi suspek yang masih bebas disyaki terlibat dalam kes samun di sebuah rumah di Kampung Pasir, Semenyih, di sini, Rabu lalu.
Katanya, identiti suspek itu akan dibuat dalam masa terdekat sekiranya suspek tidak menyerahkan diri.
“Kita telah kenal pasti identiti suspek termasuk gambar, kad pengenalan dan alamat rumahnya,” jelasnya.
Sumber – KOSMO! ONLINE