Daim mohon dapatkan penzahiran dokumen pertuduhan gagal isytihar harta
Oleh – Syeikh Baran
Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin memfailkan permohonan bagi mendapatkan penzahiran dokumen berhubung pertuduhan tidak mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pengisytiharan 70 harta.
Daim, 86, atau nama sebenarnya Che Abdul Daim Zainuddin memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Raj@Sach di Mahkamah Sesyen di sini pada 31 Julai lalu.
Permohonan itu merupakan kali kedua selepas pemohon sama yang pertama difailkan pada 31 Januari lalu tidak menerima sebarang maklum balas.
Berdasarkan dokumen permohonan tersebut, Daim selaku pemohon mendakwa pendakwa raya selaku responden telah gagal dan/atau enggan membekalkannya dengan sesalinan aduan.
“Responden juga tidak mendedahkan aduan tersebut sebagaimana pendedahan yang diwajibkan di bawah seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah. Aduan tersebut mesti didedahkan kepada saya dibawah mandat seksyen 29(4) Akta SPRM 2009 dan/atau seskyen 51 dan/atau seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
“Aduan tersebut adalah relevan untuk memastikan suatu perbicaraan adil bagi pertuduhan tersebut selaras dengan hak saya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan selain ia adalah relevan bagi mahkamah untuk mencapai suatu keputusan yang adil dan saksama bagi pertuduhan terhadap saya,” kata dokumen itu.
Semasa prosiding hari ini peguam M.Puravelan mewakili Daim manakala pendakwaan selaku responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Sementara itu, Wan Shaharuddin mengesahkan pihak pendakwaan telah menerima permohonan itu pada 6 Ogos lalu.
Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi kemudian menetapkan 27 Ogos ini sebutan dan tarikh pendengaran permohonan tersebut.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, didakwa dan mengaku tidak bersalah pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis dengan bersumpah yang tidak mematuhi terma notis di bawah seksyen 36(1)(a) akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November 2023 yang telah dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedez Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE