Kena tangkap ketika sedang syok bekerja

Oleh – Syeikh Baran


Kena tangkap ketika sedang syok bekerja
ANTARA sebahagian PATI diberkas dalam serbuan di sekitar Johor pada Selasa dan Rabu lalu.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor menahan seramai 76 warga asing di 31 premis dan rumah pekerja asing dalam tiga daerah menerusi beberapa siri serbuan pada Selasa dan Rabu lalu.

Pengarahnya, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, dalam Ops Sapu yang dilakukan di Mersing, seramai lapan lelaki warga Indonesia berusia 23 hingga 54 tahun ditahan susulan pemeriksaan dibuat di lima buah premis termasuk rumah pekerja.



“Menerusi Ops Bersama, Ops Mahir dan Ops Sapu di Muar pula, kita menjalankan pemeriksaan di sembilan premis dan berjaya menahan empat lelaki Bangladesh, enam lelaki Myanmar dan dua lelaki serta tiga wanita Indonesia.

“Tindakan diambil susulan aduan dan maklumat awam yang diterima menyatakan terdapat sejumlah warga asing yang bekerja tanpa pas yang sah serta tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah untuk tinggal di Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.

Menurut Mohd. Rusdi, serbuan turut dijalankan di Johor Bahru melibatkan Ops Mahir, Ops Belanja, Ops Sapu dan Oos Selera menyaksikan sebanyak 17 premis diperiksa.

Menerusi operasi itu, tangkapan dibuat melibatkan 17 lelaki Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita Indonesia, empat lelaki Myanmar, 25 lelaki dan seorang wanita India, seorang lelaki Pakistan serta seorang lelaki Sri Lanka.



Beliau memberitahu, semua mereka berusia 20 hingga 54 tahun.

Tambahnya, semua tahanan kini ditempatkan di Depot Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button