‘Pakar’ proses dadah ada makmal di rumah, kena cekup
Oleh – Syeikh Baran
Kegiatan seorang lelaki menjadikan rumahnya sendiri sebagai makmal memproses dadah terbongkar selepas kediaman di kawasan Buntong itu diserbu pihak berkuasa kelmarin.
Serbuan membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak itu turut merampas pelbagai jenis dadah dan peralatan memproses barang terlarang berkenaan.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 8.25 malam itu, seorang lelaki berusia 37 tahun yang juga pemilik rumah diberkas polis.
Katanya, pemeriksaan di premis itu kemudiannya menjumpai dadah disyaki methamphetamine seberat 1,436 gram, heroin base (745 gram), heroin (765 gram), Pil Erimin 5 (560 gram), pil ekstasi (381 gram), serbuk kafien (12,740 gram) dan serbuk jus disyaki dadah (1,780 gram).
“Nilai keseluruhan 18,407 gram dadah yang dirampas itu dianggarkan berjumlah RM337,683.60.
“Turut dirampas dalam operasi itu adalah bahan-bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurut beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 10 rekod lampau bersabit kes dadah dan empat rekod jenayah.
Katanya, berdasarkan siasatan, sindiket itu mula aktif sejak Mei lalu dan dadah yang dirampas disyaki diedarkan untuk pasaran di sekitar Perak.
Sumber – KOSMO! ONLINE