Pengurus syarikat didenda RM10,000 tipu urus niaga kambing import

Oleh – Syeikh Baran


Pengurus syarikat didenda RM10,000 tipu urus niaga kambing import
Shaharani didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan membabitkan tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar kambing bersertifikasi import. – Foto oleh MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA / KOSMO!

Seorang pengurus syarikat dijatuhi hukuman denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu membabitkan pembekalan kambing import kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JKV) tiga tahun lalu.

Tertuduh, Shaharani Firdauz Abd. Ghani, 38, juga berdepan hukuman penjara satu bulan jika gagal membayar denda berkenaan.



Hukuman itu dijatuhkan selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut pertuduhan, lelaki tersebut yang juga pengurus Syarikat MMLA Agri iaitu syarikat berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan, didakwa telah secara tidak jujur memperdayakan Pengarah JPV Perak, Ahmad Shafri Hassan.

Tertuduh dalam kes ini telah mendorong Ahmad Safri mempercayai bahawa invois MMLA Agri bertarikh 10 Disember 2021 adalah bagi tuntutan perkhidmatan membekal dan menghantar ternakan kambing tenusu, kambing pedaging dan bebiri bersertifikasi diimport untuk Projek Subsektor Ternakan Daerah Perak Tengah, Program Pembangunan Jajaran Sungai Perak Tahun 2020 sedangkan kambing yang dibekalkan adalah kambing tempatan.

Tindakan tertuduh itu mendorong Ahmad Shafri meluluskan bayaran bagi tuntutan tersebut yang mana beliau tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Mohd. Shafiqzan Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Berdasarkan fakta kes, Shaharani Firdauz menghantar satu invois tuntutan berjumlah RM836,798 kepada JPVP bagi perkhidmatan membekal kambing ternakan kepada empat padang ragut iaitu Air Kuning, Kampung Toh Paduka Raja, Pendiat dan Kampung Baru Bota Kanan pada 14 Disember 2021 dan JPVP memasukkan wang berjumlah seperti dituntut ke dalam akaun bank syarikat tertuduh pada keesokkannya.

Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati lelaki itu membekalkan kambing dibeli daripada penternak tempatan di Manjung, Batang Kali serta Kelantan dan bukan bersertifikasi diimport.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button