Dua koperal dicekup peras ugut peniaga burger RM90

Oleh – Syeikh Baran


Dua koperal dicekup peras ugut peniaga burger RM90
Gambar Hiasan

Dua anggota polis ditahan selepas melakukan pemerasan wang sebanyak RM90 daripada peniaga burger sambilan di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) di sini, baru-baru ini.

Kedua-dua mereka yang berpangkat koperal dari unit kereta peronda (MPV) dan berusia 39 tahun ditahan bersama barangan kes kira-kira pukul 7 petang, Rabu lalu.



Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku ketika peniaga burger tersebut yang menunggang motosikal dalam perjalanan menghantar pesanan tiga biji burger ke pelanggannya di Bukit Tinggi di sini.

Katanya, peniaga lelaki berusia 22 tahun itu kemudiannya ditahan anggota polis yang menaiki kereta peronda di 500 meter sebelum susur masuk Bandar Puteri di Kesas, kira-kira pukul 1.10 pagi, Selasa lalu.

“Hasil siasatan mendapati cukai jalan motosikal ditunggangi peniaga burger tersebut telah tamat tempoh pada 15 Mac lalu.

“Anggota polis terlibat telah menggunakan alasan tersebut bagi membuat peras ugut sejumlah wang untuk mengelakkan motosikal peniaga itu disita.



“Selepas berbincang, peniaga burger kemudiannya telah memasukkan wang tunai sebanyak RM90 ke dalam plastik berisi burger dan menyerahkan kepada anggota polis tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun, denda dan sebat sekiranya disabitkan kesalahan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini ditalian 03-33762222 atau hadir mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.



Sumber – KOSMO!ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button