Guru besar, jurujual diserang dengan pisau dalam tandas sekolah

Oleh – Syeikh Baran


Guru besar, jurujual diserang dengan pisau dalam tandas sekolah
Gambar Hiasan

Seorang guru besar wanita cedera akibat diserang lelaki bersenjatakan pisau ‘rambo’ di sebuah sekolah agama di Kelana Jaya di sini tengah hari tadi.

Selain guru besar terbabit, seorang lagi wanita turut menjadi mangsa dalam serangan ganas dipercayai berlaku sekitar pukul 1.45 tengah hari di sebuah sekolah di Jalan SS5A/10, Kelana Jaya.



Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, kejadian itu berlaku di dalam tandas wanita yang mana menghubungkan sekolah agama dan surau penduduk kawasan berhampiran.

“Pada masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh pihak polis.

Setakat ini, saya dapat mengesahkan bahawa mangsa adalah dua orang wanita. Kenyataan media akan dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dua wanita terdiri daripada seorang guru besar dan jurujual telefon bimbit mengalami kecederaan akibat diserang lelaki menggunakan pisau ‘rambo’.



Kejadian itu disedari oleh salah seorang saksi yang juga petugas di sekolah agama terbabit apabila terdengar jeritan dari arah tandas wanita.

Difahamkan kedua-dua mangsa sudah dikejarkan ke Hospital Shah Alam untuk menerima rawatan lanjut manakala suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta mewah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button