Lelaki tikam 2 wanita termasuk guru besar diburu polis

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki tikam 2 wanita termasuk guru besar diburu polis
Lokasi kejadian berkenaan.

Seorang lelaki yang bersenjatakan pisau dan menikam dua wanita termasuk guru besar berhampiran surau yang turut menempatkan sebuah sekolah agama di Kelana Jaya, di sini hari ini, giat dikesan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek berkenaan dipercayai warga tempatan dan kini masih bebas.



“Siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang berumur 26 dan 52 tahun (guru besar) itu tidak mengenali suspek.

“Motif serangan masih dalam siasatan dan kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu Shahrulnizam memaklumkan, kedua-dua mangsa yang sedang dirawat di Hospital Shah Alam itu, kini dalam keadaan stabil.

“Guru berkenaan mengalami luka besar di lengan kiri, manakala seorang lagi cedera dilibas di perut dan kepala.



“Kedua-dua mangsa juga ada menerima rawatan awal daripada pasukan perubatan Bulan Sabit Merah yang hadir ke lokasi kejadian sebelum dibawa ke hospital,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut beliau, pihaknya sebelum itu telah menerima panggilan daripada seorang pemanggil wanita yang memaklumkan berkenaan kedua-dua mangsa yang cedera ditikam dengan senjata tajam, kira-kira pukul 1.48 tengah hari tadi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kejadian ini diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-7966 2222.

Terdahulu, media melaporkan dua wanita terdiri daripada seorang guru besar dan jurujual telefon bimbit mengalami kecederaan akibat diserang lelaki menggunakan pisau ‘rambo’.



Kejadian itu disedari oleh salah seorang saksi yang juga petugas di sekolah agama terbabit apabila terdengar jeritan dari arah tandas wanita. 

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button