Azman cabut lari naik Honda Wave merah, sembunyi dalam daerah berdekatan
Oleh – Syeikh Baran
Suspek utama yang diburu polis bagi membantu siasatan kes bunuh terhadap tiga sekeluarga di Kampung Paya Redan, Pagoh Jumaat lalu dipercayai melarikan diri dengan menaiki motosikal Honda Wave berwarna merah.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, suspek yang dikehendaki bernama Azman Mohamed Nor, 48, itu dipercayai melarikan diri dan bersembunyi di daerah berdekatan.
“Berdasarkan maklumat, suspek melarikan diri sejurus dipercayai membunuh tiga ahli keluarganya sebelum membakar rumah dengan menaiki motosikal jenis Honda Wave berwarna merah.
“Suspek juga masih berada di negeri Johor dan polis tidak menolak kemungkinan bersembunyi di daerah berdekatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Daerah terdekat dengan Muar ialah Tangkak, Segamat dan Batu Pahat.
Raiz Mukhliz berkata, hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau.
Azman kini menjadi buruan polis selepas disyaki membunuh ibu bapanya, Ara Abdul Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, sebelum bertindak membakar rumah pusaka didiami mereka.
Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, Jumaat lalu, dua warga emas ditemui rentung 80 peratus di dalam sebuah bilik selepas rumah didiami lima sekeluarga hangus terbakar dijilat api.
Manakala, Noradriana disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul.
Kejadian itu turut menyebabkan, Norazima Mohd Radhi, 14, patah tangan dan cedera di kepala disyaki dipukul bapa saudaranya.
Sumber – KOSMO! ONLINE