Mayat tanpa kepala, tangan adalah Cikgu Istiqomah

Oleh – Syeikh Baran


Mayat tanpa kepala, tangan adalah Cikgu Istiqomah
MAYAT Istiqomah ditemui dalam keadaan tidak sempurna di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Polis hari ini mengesahkan mayat tanpa kepala dan tangan yang dijumpai dibuang di dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, pada 31 Disember tahun lalu adalah milik guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi, 33.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu mangsa pada 2 Ogos baru-baru ini adalah sepadan.



“Hasil ujian DNA didapati ia sepadan dengan mayat wanita yang ditemui dalam keadaan tidak sempurna di Pulau Sebang pada Disember tahun lalu.

“Mangsa dikenali Istiqomah Ahmad Rozi, yang dilaporkan hilang di Johor pada 27 Disember tahun lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan itu polis menahan sepasang suami isteri berusia 36 dan 37 tahun di Chemor, Perak yang disyaki terlibat dalam jenayah tersebut.

“Siasatan yang dijalankan ke atas kedua-dua individu tersebut telah membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.



“Kita menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer,” katanya.

Ujarnya, kedua-dua individu yang ditahan telah ditahan reman selama tujuh hari bermula 6 sehingga 12 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, berita mengenai kehilangan Istiqomah mula tular di media sosial setelah guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Pasir Gudang, itu tidak pulang ke rumah selepas keluar bekerja.

Bagaimanapun, kereta serta kunci kenderaan yang dinaiki wanita berkenaan ditemui di sekitar Lotus Kota Masai kira-kira pukul 2 petang pada 27 Disember tahun lalu.



Kosmo! pada 6 Januari lalu melaporkan mayat seorang wanita berbogel tanpa kepala, kaki dan tangan yang dibuang di dalam tong sampah di dalam longkang di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang.

Mayat mangsa telah dibuang di tepi jalan raya kira-kira 100 meter daripada sebuah rumah kosong.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button