Pelanggan mengamuk lepas kantoi tipu bayar guna QR
Oleh – Syeikh Baran
Seorang peniaga kerugian kira-kira RM85 apabila ditipu pelanggan yang membuat pembayaran menggunakan kaedah ‘QR Pay’.
Menurut perkongsian peniaga tersebut di TikTok, kejadian tersebut berlaku semasa dia berniaga di sebuah pasar malam baru-baru ini.
Katanya, pelanggan terbabit datang ke gerainya dan memesan sebanyak empat jenis makanan yang berjumlah RM85 sebelum membuat pembayaran menggunakan ‘QR Pay’.
“Dia kata dia bayar guna QR, saya cakap boleh. Ketika itu pelanggan sedang ramai, dia tunjuk telefon bimbit kepada saya dan memaklumkan sudah bayar.
“Tapi saya perasan di bahagian bawah tertera perkataan ‘Pay’ bermakna dia belum tekan. Lepas itu di telefon saya tidak ada bunyi tanda dah masuk,” katanya.
Katanya, pelanggan terbabit segera mahu beredar dari kedainya tetapi dihalang olehnya kerana tiada kemasukan wang di dalam akaun bank peniaga tersebut.
“Selepas itu dia tiba-tiba menjerit apabila saya kata duit belum masuk. Dia macam ‘play victim’ bila dah kantoi, lepas itu dia baling makanan tu atas meja jualan dengan pelanggan tengah ramai.
“Kita pun apa lagi dah geram kita ambil senduk kita hempuk dia. Tapi orang ramai tahan, lepas itu tak tahu mana dia pergi entah dibawa polis ke apa,” katanya.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna mengecam tindakan pelanggan terbabit dan meminta agar peniaga lebih berhati-hati atau sediakan alat seperti pembesar suara yang boleh mengesan setiap pembayaran yang dibuat.
“Makanan jadi darah daging kot. Tak ada duit, selera besar,” kata Leha.
“Samalah kedai mak saya kena RM0.10 dia transfer makan itu ini baru sekali kantoi sedang dia datang makan kedai mak hari-hari. Lepas kantoi tak datang dah lepas itu ‘play victim,” kata Raymond.
“Tak faham orang tak nak bayar makan ni, jadi darah daging tau. Semoga urusan acik dipermudahkan. Amin,” kata Kymm.
Sehingga kini video tersebut ditonton lebih 2 juta kali.
Sumber – KOSMO! ONLINE