Pengarah, timbalan pengarah agensi kerajaan negeri direman kes suapan
Oleh – Syeikh Baran
Empat individu termasuk pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri direman selepas disyaki berkomplot menerima suapan bernilai kira-kira RM176,000 bagi meluluskan tuntutan kerja dengan butiran palsu, tahun lalu.
Majistret Mahkamah Melaka, Rafidah Che Aziz memerintahkan tiga suspek yang masing-masing berusia 40, 50 dan 60 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini, manakala seorang lagi suspek wanita berusia 34 tahun direman selama sehari.
Perintah reman itu dibenarkan bagi membolehkan siasatan dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Terdahulu, semua suspek yang memakai baju lokap SPRM bewarna jingga tiba di pekarangan mahkamah pada pagi tadi dengan diringi penguat kuasa.
Difahamkan semua suspek ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam di Pejabat SPRM Melaka, selepas disyaki menerima suapan dianggarkan berjumlah RM176,000 sebagai balasan meluluskan tuntutan kerja di jabatan tersebut yang mempunyai butiran matan palsu.
Pengarah SPRM Melaka, Adi Supian Shafie ketika dihubungi mengesahkan tahanan reman tersebut.
“Jika sabit kesalahan mereka ini boleh dikenakan hukuman denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE