Pegawai kanan polis dituduh terima rasuah RM12,000
Oleh – Syeikh Baran
Seorang pegawai kanan polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM12,000, lima tahun lalu.
Tertuduh, K. Poobalan, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.
Mengikut pertuduhan, dia yang ketika itu pegawai penyiasat kanan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang menerima untuk dirinya wang RM12,000 ke dalam akaun bank miliknya.
Tertuduh didakwa menerima wang tersebut sebanyak dua kali masing-masing berjumlah RM6,000 di sebuah bank di cawangan Padang Besar, Perlis pada 24 April dan 15 Mei 2019.
Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan dengan membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sumber – KOSMO! ONLINE