Suspek samun kedai emas di Kajang maut ditembak

Oleh – Syeikh Baran


Suspek samun kedai emas di Kajang maut ditembak
Tangkap layar video tular kedai emas yang dirompak sekumpulan penjenayah dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kajang, 17 Jun lalu.

Polis menembak mati seorang penjenayah dipercayai terbabit kejadian kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli belah, di sini, 17 Jun lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang tadi, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang melakukan rondaan dan menahan sebuah kereta jenis Perodua di susur masuk Tol Sungai Balak, Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK), di sini.



Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, bagaimanapun suspek enggan berhenti dan telah melepaskan tembakan kearah pihak polis.

“Pihak polis telah membalas tembakan dan suspek dipercayai mati terkena tembakan dalam kejadian tersebut. Dalam kejadian ini juga, seorang anggota polis telah terkena tembakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Jelas beliau, semakan mendapati suspek lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an itu mempunyai enam rekod jenayah samun.

“Suspek dipercayai juga terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu,” katanya.



Jelas beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pada 17 Jun lalu, Kosmo! melaporkan berlaku kejadian kes samun barangan kemas dianggarkan bernilai RM3.2 juta di sebuah pusat beli belah di sini.

Kejadian itu berlaku apabila empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan merompak kedai emas tersebut.

Kesemua suspek kemudiannya melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan.



Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button