Culik Omar Z.M Albelbaisy: Tertuduh mohon lepas atau tuduhan dikurangkan

Oleh – Syeikh Baran


Culik Omar Z.M Albelbaisy: Tertuduh mohon lepas atau tuduhan dikurangkan
Tertuduh-tertuduh ketika keluar dari Mahkamah Sesyen pada Februari lalu.

Seramai sembilan tertuduh yang terlibat didakwa menculik lelaki warga Palestin Omar Z. M. Albelbaisy Raeda memohon dilepaskan atau tuduhan terhadap mereka dikurangkan.

Perkara itu dimaklumkan peguam Norma Goh Kim Lian yang mewakili sembilan tertuduh berkenaan pada sebutan semula kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy.



Menurut peguam itu, beliau sudah menghantar representasi itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bulan lalu.

Kesemua tertuduh itu ialah Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; dan Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51.

Sementara itu, peguam, Muhammad Amin Abdullah yang mewakili Nidarahayu Zainal, 36; peguam Wan Muhd Ariff Ameer Wan Normazlan bertindak bagi pihak Raibafie Amdan, 41; Adi Zulkarnain Zulkafli untuk Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi; 25, dan peguam Navinjit Singh bagi Edy Ko’im Said, 42, memberitahu mahkamah, mereka akan menghantar representasi sama.

Selepas mendengar makluman pihak pembelaan, Hakim Muniandy kemudian menetapkan pada 7 hingga 11 Julai tahun hadapan bagi perbicaraan dan 22 Ogos ini selain mendengar permohonan semua tertuduh untuk dilepaskan dengan jaminan.



Dalam prosiding sama, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizah Salleh memberitahu mahkamah, pihaknya akan memanggil 30 saksi untuk memberikan keterangan pada perbicaraan kes itu.

Pada Oktober 2022, kesemua 13 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan Omar Z. M. Albelbaisy Raeda untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 10.40 malam, 28 September 2022 di Jalan Mayang, di sini dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.



Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh memandangkan kes itu berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pada 7 Ogos lalu, Mahkamah Rayuan Putrajaya memutuskan supaya kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi, di sini.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Pada 5 Oktober 2022, media melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September tahun sama.



Mangsa dipercayai ahli perniagaan itu berjaya diselamatkan menerusi serbuan berasingan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 29 September 2022.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button