Dua individu ditahan terbabit kes curi kabel, tiga masih bebas

Oleh – Syeikh Baran


Dua individu ditahan terbabit kes curi kabel, tiga masih bebas
Kenderaan suspek serta kabel yang dirampas dalam kejadian di Taman Puncak Saujana, Kajang, semalam.

Polis menahan dua individu terbabit dengan kegiatan mencuri kabel dalam kejadian di Taman Puncak Saujana, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan kejadian itu diterima pihaknya pada pukul 6.39 pagi sebelum anggota Unit Kereta Peronda (MPV) digerakkan ke kawasan berkenaan.



Katanya, anggota MPV kemudian telah terserempak dengan kenderaan suspek iaitu sebuah lori dan kereta Proton Wira yang dinaiki kira-kira lima lelaki.

“Suspek kemudian telah diminta berhenti sebelum mereka terus memecut laju dan dikejar pasukan MPV.

“Lori terbabit berjaya ditahan di Jalan 2/9A Seksyen 2, Bandar Baru Bangi sebelum tangkapan dibuat ke atas dua lelaki tempatan berusia 18 dan 20 tahun, manakala suspek lain dapat melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini

Naazron berkata, polis merampas beberapa peralatan mencuri kabel selain dua gulung kabel hitam serta 48 wayar kabel bersama tiga parang.



Menurut beliau, semakan mendapati suspek yang ditahan masing-masing mempunyai empat rekod jenayah selain disahkan positif dadah.

“Kedua-dua lelaki itu direman selama tiga hari sehingga esok ini bagi membantu siasatan, manakala suspek yang masih bebas pula sedang dikesan dan tindakan mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Hafifi Noni di talian 016-3335139 bagi membantu siasatan.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button