Dua rakan terlepas tali gantung, bebas tuduhan edar ganja

Oleh – Syeikh Baran


Dua rakan terlepas tali gantung, bebas tuduhan edar ganja
PEGUAM K. Shareveen (tengah) bersama Nik Muhamad (kiri) dan Mohamad Zuladam selepas Mahkamah Tinggi Melaka melepas dan membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah berbahaya.

Dua sahabat terlepas hukuman gantung sampai mati selepas Mahkamah Tinggi di sini, hari ini melepaskan dan membebaskan mereka atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Anselm Charles Fernandis membuat keputusan itu selepas pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir pendakwaan terhadap tertuduh, Nik Muhamad Nasruddin Mohd. Naser, 26, dan Mohamad Zuladam Muhammad, 25.



Anselm berkata, terdapat pemboleh ubah terhadap rumah yang didiami tertuduh berdasarkan keterangan-keterangan saksi pendakwaan.

“Saya berpendapat terdapat inferens rumah tersebut adalah rumah yang didiami pihak lain selain daripada kedua-dua tertuduh. Rumah tersebut adalah rumah sewa dan sewaan bukan di atas nama kedua tertuduh.

“Barang kes dijumpai di dalam bilik stor yang mana ia merupakan tempat am bagi penghuni-penghuni lain. Dengan ini terdapat kawalan dan jagaan barang bukan milik tertuduh tetapi juga pihak lain.

“Pihak pendakwaan telah gagal membuktikan satu kes prima facie dan tiada keperluan memanggil kedua tertuduh untuk membela diri. Dengan Ini mahkamah melepaskan dan membebaskan kedua tertuduh,” katanya.



Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua tertuduh yang bekerja di sebuah kilang ketika kejadian telah mencapai niat bersama mengedar dadah berbahaya jenis kanabis dengan berat bersih 1386.80 gram.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 4.45 petang di sebuah rumah bernombor, Jalan SW 3, Taman Sutera Wangi, Btau Berendam dalam daerah Melaka Tengah pada 17 April 2020.

Sabit kesalahan kedua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati mandatori mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua tertuduh diwakili peguam K. Shareveen sementara pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Yusof.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button