Orang suruhan along simbah cat merah didenda RM3,000
Orang suruhan along simbah cat merah didenda RM3,000
MANJUNG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM3,000 terhadap seorang lelaki suruhan along atau ceti haram selepas mengaku bersalah menyimbah cat merah di rumah keluarga peminjam, Januari lalu.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara sebulan jika tertuduh gagal membayar denda.
Tertuduh, Fo Siew How, 29, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Berdasarkan pertuduhan, pembantu kedai runcit itu didakwa dengan niat melakukan khianat dengan menyimbah cat sehingga menyebabkan kerosakan pada pagar rumah, dinding pagar rumah, lantai halaman rumah dan pasu bunga milik Kong Tee Seew, 77, yang menyebabkan kerugian RM2,000 di sebuah rumah di Kampung Baru, Ayer Tawar, di sini, pada jam 2.50 pagi, 24 Januari lalu.
Oleh yang demikian, dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hairol Jemain, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nur Shaqira Ibrahim.
Berdasarkan fakta kes, selain menyimbah cat merah, tertuduh turut meninggalkan dua keping nota amaran meminta anak pengadu membayar hutang dengan along.
Semakan polis dengan pihak Touch N Go dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tertuduh datang ke Manjung pada 24 Januari lalu dengan menaiki kereta jenis Proton Saga melalui Plaza Tol Lekir.
Tertuduh diberkas polis dari Bahagian D7 (Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Manjung pada jam 1.40 tengah hari, 3 Ogos lalu di Setapak, Kuala Lumpur.
Orang suruhan along simbah cat merah didenda RM3,000
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Anak Mahathir Di Beri Lanjutan Isytihar Harta
- Minda Luar Sedar Annuar Musa Bila Bercakap Tentang KESEDAR
- Panglima perang dan “Sidekick” Mahathir hilangkan diri
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Siapa Sebenarnya Dalang Masalah Tanah KESEDAR