Penuntut IPT didakwa noda, cabul remaja 14 tahun dalam kereta

Oleh – Syeikh Baran


Penuntut IPT didakwa noda, cabul remaja 14 tahun dalam kereta
Anggota polis membawa Nurhafiz Khairy (dua dari kanan) dan Muhammad Aniq selepas mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ROSALWANI CHE SOH

Dua penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini masing-masing atas satu pertuduhan merogol dan mencabul seorang remaja berusia 14 tahun yang baru dikenali mereka melalui media sosial di dalam sebuah kereta pada minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh yang berusia 19 tahun iaitu, Nurhafiz Khairy Mohd. Sakri dan rakannya, Muhammad Aniq Muqhriz Masron bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.



Mengikut pertuduhan, Nurhafiz Khairy didakwa merogol seorang remaja perempuan yang berusia 14 tahun 10 bulan ketika kejadian tanpa kerelaannya dari Jalan Pasir Hor ke Jalan Sultan Yahya Petra di sini kira-kira pukul 9.10 malam pada 6 Ogos lalu.

Dalam prosiding berasingan, Muhammad Aniq didakwa dengan maksud seksual telah melakukan amang seksual fizikal kepada mangsa sama.

Perbuatan itu dilakukan dari Persimpangan Taman Maju ke Jalan Tanjung Chat di sini kira-kira pukul 9.30 malam pada hari yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Edabayu Subhan manakala Nurhafiz Khairy diwakili peguam, Muhammad Fariduddin Mat Noor dan peguam, Muhammad Zulfaqar Al Basysyar Saharrudin pula mewakili Muhammad Aniq.



Terdahulu, Siti Edabayu tidak menawarkan jaminan memandangkan tertuduh merupakan remaja bawah umur dan jenayah terbabit melibatkan perlakuan seksual terhadap mangsa.

Muhammad Zulfaqar kemudian memohon ikat jamin dengan alasan anak guamnya berasal daripada keluarga susah dan pertuduhan yang dihadapi Muhammad Aniq perlu diuji kebenaran menerusi perbicaraan penuh di mahkamah.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 untuk setiap tertuduh masing-masing dengan seorang penjamin selain menetapkan syarat tambahan iaitu tidak menggangu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah turut menetapkan 9 September depan untuk sebutan semula kes dan kedua-dua tertuduh tidak membayar jaminan yang dibenarkan.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button