‘Otai’ pecah kereta di Sentul diberkas

Oleh – Syeikh Baran


‘Otai’ pecah kereta di Sentul diberkas
Ahmad Sukarno menunjukkan barangan yang dirampas daripada suspek warga emas hasil mencuri dalam kenderaan. Foto oleh KOSMO!/ M FIRDAUS M JOHARI

Lelaki warga emas ditahan polis 7 Ogos lalu, selepas dipercayai terlibat dengan 10 kes kecurian dalam kenderaan di sekitar Sentul, di sini, sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang mendakwa barangan dalam keretanya yang diparkir di Jalan Ipoh, di sini, dicuri pada 9.30 malam, 3 Ogos lalu.



Bertindak atas maklumat diterima, pihaknya menahan suspek berusia 61 tahun serta merampas telefon bimbit, komputer riba dan pakaian dipercayai digunakan ketika kejadian di Batu 3 Jalan Ipoh, di sini, 7 Ogos.

“Jumlah keseluruhan rampasan terhadap suspek dianggarkan bernilai RM11,000.

“Modus operandi lelaki terbabit adalah menyasarkan kenderaan yang diparkir di tepi jalan secara rambang serta tidak dikunci.

“Suspek mencuba nasib sekiranya kenderaan ditinggalkan tidak berkunci seterusnya mengambil apa sahaja barangan mahupun wang tunai yang ada dalam kenderaan,” ujarnya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.



 

Ujarnya, suspek juga mengaku terbabit dalam 10 kes kecurian dalam kenderaan di Sentul dan semakan dilakukan mendapati lelaki terbabit mempunyai dua rekod jenayah.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan suspek terbabit direman sehingga esok untuk siasatan lanjut.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button