Padah guna IC individu meninggal dunia

Oleh – Syeikh Baran


Padah guna IC individu meninggal dunia
Tertuduh (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini.

Seorang peniaga didenda RM6,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret hari ini atas tuduhan menipu perjanjian sewa sebuah rumah menggunakan kad pengenalan individu yang meninggal dunia.

Tertuduh, Lim Chong Lim, 42, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.



Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani penjara lapan bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menipu seorang lelaki berusia 43 tahun secara bersemuka dengan menggunakan maklumat butiran kad pengenalan milik Chew Kok Wah, 48, untuk menandatangani surat perjanjian ‘tenancy agreement’ menggunakan khidmat ejen sebuah syarikat.

Perbuatan itu dilakukan bagi menyewa rumah di Lintang Kampung Masjid 4, Teluk Kumbar bagi tujuan menjalankan aktiviti cari gali bitcoin dengan cara mencuri arus elektrik syarikat TNB secara haram, bermula pada 15 Ogos 2021 sehingga 3 Julai 2022.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 3.30 petang, 6 Ogos 2021 di No 597, Jalan Ayer Putih Balik Pulau di sini.



Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 419 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau dengan kedua duanya.

Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, R. Lushani meminta mahkamah mengenakan hukuman setimpal kepada tertuduh kerana pemilik premis yang disewanya telah disaman lebih RM100,000 oleh TNB.

Tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) memohon hukuman yang ringan kerana memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 dan perlu menanggung keluarga.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button