Pencuci kereta maut, rakan parah ditetak lima lelaki

Oleh – Syeikh Baran


Pencuci kereta maut, rakan parah ditetak lima lelaki
Lokasi dua lelaki diserang lima suspek bersenjatakan parang sehingga seorang daripada mereka maut di tapak pemasangan kabel berdekatan Kampung Toh Pawang, Bedong dekat Sungai Petani pada semalam.

Seorang pekerja premis cuci kenderaan maut manakala rakannya yang merupakan pengawal keselamatan cedera parah akibat ditetak pada kepala dan badan oleh sekumpulan lima lelaki di Bedong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, kedua-dua mangsa berusia lewat 20-an yang mengalami kecederaan serius dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini oleh rakan mereka sebelum salah seorang mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.



Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, anggotanya dari pondok polis HSAH menerima panggilan daripada pegawai perubatan Jabatan Kecemasan hospital itu pada pukul 2.20 pagi semalam memaklumkan menerima kes dua lelaki ditetak dengan seorang daripadanya telah meninggal dunia.

“Siasatan mendapati dua mangsa diserang lima lelaki menaiki motosikal dan bersenjatakan parang di tapak pemasangan kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di simpang menghala ke Kampung Toh Pawang.

“Ketika kejadian, pengawal keselamatan itu sedang bertugas sambil ditemani rakannya. Mangsa diserang dengan parang sehingga mengalami kecederaan parah pada dada dan kedua-dua belah tangan, manakala rakannya yang bekerja sebagai pencuci kereta bertindak melarikan diri,” katanya di sini hari ini.

Kata beliau, kesemua suspek kemudian bertindak mengejar pencuci kereta itu sejauh kira-kira 2.7 kilometer sebelum menyerang dan menetaknya di belakang sebuah premis mencuci kenderaan di Taman Bedong, sebelum melarikan diri.



“Kedua-dua mangsa tetakan itu dibawa untuk menerima rawatan di HSAH oleh rakan mereka, namun pekerja cuci kereta yang mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital,” ujarnya.

Tambahnya, polis berjaya menahan tiga suspek berusia lingkungan 20-an hingga 30-an di sekitar Sungai Petani dan dalam proses permohonan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button