Penjara 32 tahun bunuh adik ipar selepas didesak ceraikan isteri
Oleh – Syeikh Baran
Seorang bekas pekerja industri makanan dan minuman terlepas hukuman mati setelah Mahkamah Persekutuan hari ini menggantikannya dengan hukuman penjara 32 tahun kerana membunuh adik ipar yang juga kekasihnya di sebuah hotel di Petaling Jaya, 10 tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap N. Kumaresan, 36, selepas membenarkan permohonan semakan untuk mengetepikan hukuman mati terhadapnya.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara turut memerintahkan banduan akhir itu (pemohon) menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 10 Jun 2014 dan dikenakan 12 sebatan.
Pada prosiding itu, peguam Abdul Rashid Ismail yang mewakili Kumaresan berhujah, anak guamnya terlibat dalam hubungan cinta tiga segi dengan adik iparnya dan mangsa mendesak supaya lelaki itu menceraikan isterinya.
Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang yang bertindak sebagai responden berhujah, dalam kejadian itu mangsa dicekik dan beliau memohon hukuman penjara di antara 34 dan 36 tahun.
Pada 20 Julai 2020, satu panel lain Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Kumaresan selepas berpuas hati bahawa pengakuan lelaki itu kepada isterinya dan bukti yang dikemukakan adalah mencukupi bagi mensabitkannya atas pertuduhan membunuh mangsa.
Mahkamah berpendapat, niat membunuh A. Sivasanggari, 22, adalah jelas berdasarkan bukti ahli patologi bahawa tulang hyoid di leher mangsa patah. Kesalahan dilakukan di sebuah bilik hotel di antara pukul 9 malam, 9 Jun 2014 dan 10 pagi keesokan harinya.
Keterangan kes menyatakan, Kumaresan dan mangsa mempunyai hubungan sulit, namun motif pembunuhan tidak jelas.
Sumber – KOSMO! ONLINE