Penjara 36 tahun, tembak pengawal keselamatan, rompak RM1.2 juta

Oleh – Syeikh Baran


Penjara 36 tahun, tembak pengawal keselamatan, rompak RM1.2 juta
Gambar Hiasan

Dua lelaki termasuk seorang bekas pengawal keselamatan yang didapati bersalah melakukan rompakan dan menembak mati rakan sekerja pada 2012, terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 36 tahun.

Panel tiga hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat memutuskan demikian terhadap Mohd. Hafizuddin Zainal Abidin (pengawal keselamatan) dan Cheah Cheong Tatt selepas membenarkan permohonan semakan mereka.



Koram berkenaan turut memerintahkan Mohd. Hafizuddin, 37, menjalani hukuman penjara bermula tarikh tangkap pada 25 September 2012 dan Cheong Tatt, 35, bermula pada 21 September 2012.

Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Hanipah Farikullah dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera turut memerintahkan mereka dikenakan 12 sebatan setiap seorang.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad membantah permohonan semakan itu atas alasan kes tersebut melibatkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam Gurbachan Singh yang mewakili Mohd. Hafizuddin manakala Ramkarpal Singh yang mewakili Cheong Tatt memohon hukuman mati diketepikan atas alasan anak guam mereka merupakan pesalah pertama serta insaf dengan perbuatan tersebut.



Pada 29 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Taiping mensabit dan menghukum mereka dengan hukuman mati. Keputusan itu disahkan oleh Mahkamah Rayuan pada 26 April 2018 dan dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 14 Julai 2021.

Mohd Hafizuddin yang ketika kejadian bertugas sebagai pengawal keselamatan syarikat Safeguards G4S Sdn. Bhd., didapati melakukan kesalahan berjadual iaitu merompak wang tunai RM1.2 juta milik majikannya dan melepaskan tembakan sehingga menyebabkan kematian rakan setugas Hasnul Hafis Saad, 28.

Sementara Cheong Tatt yang ketika itu merupakan penyelia syarikat swasta, didapati bersalah bertindak sebagai rakan sejenayah Mohd. Hafizuddin yang mana dia mengetahui pengawal keselamatan tersebut ketika itu memiliki senjata api.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button