Tauke kantin termakan janji rugi RM131,000
Oleh – Syeikh Baran
Gara-gara terperdaya dengan sindiket penipuan atau scammer menerusi telefon, seorang pengusaha kantin sekolah kerugian RM131,000 pada akhir bulan lalu.
Lelaki berusia 48 tahun yang menyedari tertipu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 4.30 petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, pada mulanya, mangsa telah dihubungi suspek yang menyamar sebagai pegawai sebuah bank pada pukul 3.10 petang, 31 Julai lalu.
“Suspek mendakwa akaun bank mangsa telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab sebelum panggilan itu disambung pula kepada individu lain kononnya pegawai polis.
“Mangsa kemudannya didakwa kononnya dia sedang disiasat melakukan aktiviti pengubahan wang haram,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, suspek telah mengarahkan pengusaha kantin terbabit mendedahkan maklumat peribadi dirinya dan isteri kononnya bagi tujuan siasatan.
Tambah beliau, mangsa juga diarahkan memindahkan kesemua wang simpanannya ke tiga akaun bank berasingan diberikan kononnya untuk diaudit Bank Negara.
“Suspek didakwa menakut-nakutkan mangsa kononnya semua wang simpanannya akan dibekukan selain waran tangkap terhadapnya akan dikeluarkan sekiranya arahan tidak dipatuhi.
“Dia juga berjanji wang simpanan mangsa akan dipulangkan semula setelah proses audit selesai dalam tempoh tiga hari,” katanya.
Sumber – KOSMO! ONLINE