Tiga beradik dituduh cederakan kenalan guna parang, pisau

Oleh – Syeikh Baran


Tiga beradik dituduh cederakan kenalan guna parang, pisau
Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang dan pisau dalam kejadian di Tampin, awal bulan ini. -Foto oleh NOR AINNA HAMZAH / KOSMO!

Tiga beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki menggunakan parang dan pisau dalam kejadian di Tampin, awal bulan ini.

Tertuduh, R Arul, 32; R Kalidasa, 33; dan R Elango, 27; mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Norma Ismail.



Berdasarkan pertuduhan, kesemuanya secara bersama telah menyebabkan kecederaan ke atas lelaki berusia 46 tahun dengan menggunakan sebilah parang dan dua bilah pisau yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 3 pagi di Kampung Baru Air Kuning Selatan di Gemencheh pada 4 Ogos lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni kemudiannya menawarkan wang jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap tertuduh dengan syarat tambahan.



Bagaimanapun, peguam bagi ketiga-tiga beradik berkenaan, Daniel Savarimuthu dalam rayuan memohon jaminan paling rendah dengan syarat tambahan, selain ketiga-tiga tertuduh akan memberi kerjasama sepanjang kes berjalan.

Malah, Daniel berkata, kesemua tertuduh perlu menanggung ibu bapa dan salah seorang tertuduh pula bakal berkahwin tidak lama serta telah menggunakan banyak wang bagi tujuan tersebut.

Hakim kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak menganggu mangsa dan sekiranya terdapat kacau ganggu, jaminan akan ditarik serta merta.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button