Bunuh Istiqomah: Dua kali ditanya, tertuduh jawab ‘faham’

Oleh – Syeikh Baran


Bunuh Istiqomah: Dua kali ditanya, tertuduh jawab ‘faham’

Suspek pembunuhan kejam Istiqomah Ahmad Rozi, 33, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh ibu tiga anak itu, Disember tahun lalu.



Tertuduh, Mohd. Fadzly Ariffadzilah, 36, bagaimanapun hanya menyatakan faham mengenai pertuduhan bunuh itu selepas dua kali ditanya oleh jurubahasa mahkamah dan tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Dr. Teoh Shu Yee.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh terhadap Istiqomah Ahmad Rozi, 33, antara 26 Disember sehingga 31 Disember 2023 di tepi jalan Kampung Tanjung Rimau Luar, Pulau Sebang dalam daerah Alor Gajah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau sekiranya tidak dihukum gantung, hendaklah dihukum dengan pemenjaraan daripada tiga puluh tahun dan tidak melebihi empat puluh tahun dan hendaklah dikenakan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim membantah sebarang jaminan dan meminta penetapan satu tarikh baharu untuk serahan laporan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dan bedah siasat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.



Mahkamah kemudian bersetuju dengan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 22 Oktober depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Terdahulu, Istiqomah telah dilaporkan hilang pada 27 Disember lalu selepas keluar bekerja, namun keretanya ditemui di sekitar Lotus Kota Masai kira-kira pukul 2 petang hari sama.

Pada 31 Disember tahun lalu, mayat seorang wanita ditemui disumbat di dalam tong sampah dalam keadaan tanpa kaki dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Kosmo! pada 12 Ogos lalu melaporkan, polis mengesahkan mayat yang ditemui itu adalah jasad Istiqomah.



Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pengesahan itu dibuat melalui hasil DNA yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos baru-baru ini.

Katanya, keputusan DNA tersebut adalah sepadan dengan mayat ditemui.

Susulan itu pada 5 Ogos lalu polis menahan seorang bekas guru di Chemor, Perak selepas disyaki terlibat dalam pembunuhan Istiqomah, yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai, Johor.

Jelasnya, suspek merupakan kenalan lama Istiqomah ketika kedua-duanya masih menuntut di institusi pendidikan tinggi dan berhubung bagi membincangkan pelaburan dalam pasaran pertukaran asing.



Ujarnya, siasatan lanjut yang dijalankan membawa kepada penemuan sebahagian lagi anggota badan mangsa di kawasan berhampiran tempat mayat ditemui.

“Kita menemui tulang jari dan kepala tidak jauh dari lokasi penemuan mayat, kira-kira lima hingga enam kilometer,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 



 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button