Lelaki maut motosikal terbabas

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki maut motosikal terbabas

Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terbabas dalam kejadian di Kilometer 287.7, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini hari ini.



Kejadian sekitar pukul 2.11 pagi itu mengorbankan mangsa berusia 42 tahun yang mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah Butterworth, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang terjatuh mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.



“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Syafiq Fauze di talian 013-6713177 atau balai-balai polis berhampiran.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button