Pelik juga bila tidak nampak kelibat mangsa – Jiran
Oleh – Syeikh Baran
Kelibat kanak-kanak perempuan yang maut dipercayai didera jarang kelihatan sejak beberapa hari lalu, dakwa penduduk pangsapuri di Bandar Tasik Puteri, Rawang di sini.
Salah seorang penduduk yang enggan dikenali itu berkata, kanak-kanak berusia 8 tahun itu pernah dilihat bermain bersama adiknya di sekitar kediaman itu.
“Mangsa sebelum ini ada juga teman adiknya bermain di hadapan rumah, tapi pelik juga sebab kebelakangan ini tak nampak kelibatnya keluar.
“Saya tak mahu buat sebarang spekulasi berkaitan kejadian sebab kes masih dalam siasatan polis, cumanya saya bersimpati atas apa berlaku, tambahan pula mangsa adalah kanak-kanak,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Sementara itu, penduduk di blok yang sama juga berkata, keluarga tersebut dilihat normal kerana mesra dengan jiran dan tidak pernah membuat sebarang masalah.
Menurutnya, ibu kandung serta bapa tiri kepada mangsa tinggal di pangsapuri berkenaan sejak setahun lalu.
“Mereka ini tak sombong, ada juga bertegur sapa, sejak mereka tinggal di sini tak pernah pula dengar ada pertengkaran, kanak-kanak di sini pun selalu beli ais krim di rumah mereka.
“Bila dengar kejadian terbabit, terkejut juga, sebab tak sangka ada kejadian seperti itu berlaku di sini, sebelum ini tidak pernah ada kejadian sedemikian,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 8 tahun ditemui maut dengan kesan kecederaan dipercayai didera di Bandar Tasik Puteri, Rawang, di sini, semalam.
Siasatan mendapati terdapat kecederaan pada tubuh badan mangsa dipercayai dilakukan menggunakan tangan, kaki, tali pinggang, penyangkut baju, dan senjata tumpul.
Rentetan itu, polis membuat tangkapan membabitkan pasangan suami isteri dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan .
Sumber – KOSMO! ONLINE.