Suspek bunuh tiga ahli keluarga, bakar rumah dituduh esok

Oleh – Syeikh Baran


Suspek bunuh tiga ahli keluarga, bakar rumah dituduh esok

Suspek utama yang dipercayai membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman yang didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, 10 Ogos lalu akan dituduh esok.



Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz memaklumkan suspek berusia 48 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Muar kira-kira pukul 9 pagi.

Difahamkan, lelaki yang masih bujang itu akan berdepan dengan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dengan menggunakan senjata.

Terdahulu, suspek direman selama tujuh hari selepas ditahan Rabu lalu selepas lima hari melarikan diri ketika merayau-rayau di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Suspek dikatakan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang ditungganginya di Hentian Bas Bentayan di sini sebelum menaiki bas ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Bandar Tasek Selatan.



Kosmo! sebelum ini melaporkan lelaki itu menjadi buruan polis selepas disyaki membunuh ibu bapanya, Ara Abdul Hamid, 76, dan Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, serta anak saudaranya, Noradriana Nor Hasyim, 11, sebelum bertindak membakar rumah pusaka didiami mereka.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi, Jumaat lalu, dua warga emas ditemui rentung 80 peratus di dalam sebuah bilik selepas rumah didiami lima sekeluarga hangus terbakar dijilat api.

Manakala, Noradriana disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul.

Kejadian itu turut menyebabkan, Norazima Mohd Radhi, 14, patah tangan dan cedera di kepala disyaki dipukul bapa saudaranya dikenali sebagai Azman.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button