Bicara Wan Saiful 22 Ogos, Timbalan Pendakwa Raya lain ambil alih kes

Oleh – Syeikh Baran


Bicara Wan Saiful 22 Ogos, Timbalan Pendakwa Raya lain ambil alih kes

Mahkamah Sesyen di sini menetapkan perbicaraan kes pengubahan wang haram dan rasuah dihadapi Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung projek Jana Wibawa, disambung pada 22 Ogos ini.



Hakim Rosli Ahmad menetapkan tarikh itu bagi membolehkan ketua pasukan pendakwaan baharu, Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Dr. Ifa Sirrhu Samsudin membuat persediaan sejak mengambil alih kes tersebut pada 15 Ogos lalu.

TPR Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Amirah Muhammad Ali memaklumkan, Ifa Sirrhu baru mengambil alih kes itu daripada Rasyidah Murni Azmi.

“Pendakwaan memohon penangguhan kes minggu ini kerana ketua pasukan pendakwaan baru melapor diri dan diarah ambil alih kes ini menggantikan Rasyidah yang berpindah keluar (ke Jabatan Peguam Negara).

“Oleh itu, beliau mohon sedikit masa untuk meneliti dokumen sebelum bicara bermula mengambil kira kes ini berkepentingan tinggi dan saksi-saksi terlibat adalah saksi-saksi penting,” katanya pada sebutan kes kali pertama di hadapan hakim baharu itu.



Kes itu disebut kali pertama di hadapan Rosli yang merupakan hakim baharu mendengar perbicaraan kes Wan Saiful, menggantikan hakim sebelum ini, Rozina Ayob telah berpindah pada 15 Ogos lalu.

Menurut Siti Amirah, kes itu mula dibicarakan sejak 25 Mac lalu. Seramai sembilan saksi pendakwaan telah dipanggil untuk memberi keterangan, namun saksi pendakwaan ketiga (SP3) iaitu Setiausaha Bahagian Strategi Badan Berkanun di Kementerian Kewangan, Datin Rosni Mohd Yusoff masih disoal balas oleh pembelaan.

“Secara keseluruhan pihak pendakwaan mempunyai 50 saksi yang akan dipanggil bagi perbicaraan kes ini,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button