Hanya kerana RM500, penganggur seludup ganja berdepan hukuman gantung

Oleh – Syeikh Baran


Hanya kerana RM500, penganggur seludup ganja berdepan hukuman gantung

Hanya kerana upah RM500, seorang penganggur berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dicekup bersama sejumlah dadah jenis ganja di Jalan Padang Besar di sini Ahad lalu.



Dalam kejadian pada pukul 12.05 tengah hari itu, lelaki berusia 32 tahun ditahan pihak polis selepas didapati membawa sejumlah 2.85 kilogram ganja di hadapan sebuah kedai wakil insurans di sini

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komusioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, suspek ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Kedah.

“Ketika serbuan dilakukan, suspek sedang duduk di atas sebuah motosikal jenis Yamaha LC135 berwarna hitam di hadapan premis tersebut.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek, pihak polis menemui satu bungkus plastik bertangkai di tangannya dan pemeriksaan lanjut dalam beg plastik itu menemui tiga bungkus plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis ganja dengan berat keseluruhan 2.85 kilogram,” katanya di sini hari ini.



Tambahnya lagi, siasatan awal mendapati suspek mengaku menerima upah sebanyak RM500 daripada seorang lelaki warganegara jiran untuk membawa masuk dadah tersebut ke negara ini.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek mempunyai 11 rekod lampau berkaitan dadah dan ujian saringan awal menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine.

“Nilai rampasan dadah tersebut dianggarkan sebanyak RM9,300 dan boleh digunakan oleh kira-kira 2,850 orang pengguna dadah. Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Menurut Mohd. Shokri, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.



Beliau turut memberi amaran keras kepada mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah bahawa tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button