Lelaki bujang didenda RM2,500 mengaku curi coli pagi buta

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki bujang didenda RM2,500 mengaku curi coli pagi buta

Seorang lelaki bujang didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian dalam milik seorang remaja, Sabtu lalu.



Majistret Suzana Mokhtar menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Kh’ng Poh Siang, 30, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah mencuri sehelai pakaian dalam wanita milik seorang remaja berusia 16 tahun pada pukul 4.30 pagi di sebuah rumah beralamat di Lorong Haji Jabbar dalam daerah Muar pada 17 Ogos lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh yang masih bujang mencuri pakaian dalam itu di sebuah rumah yang pernah disewanya sebelum ini.



Suspek ditangkap melalui siasatan rakaman televisyen litar tertutup dan pakaian dalam berwarna hitam itu telah ditemui dalam milikan lelaki tersebut.

Terdahulu, tertuduh yang diwakili Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu agar hukumannya diringankan dengan alasan perlu menjaga bapa yang uzur dengan pendapatan hanya RM1,200 sebulan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Arif Marzuki bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,500 atau penjara lima bulan jika gagal bayar.



Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button