Lelaki direman kes bunuh isteri, anak
Oleh – Syeikh Baran
Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes bunuh isteri dan anak perempuannya.
Suspek berusia 43 tahun direman sehingga 26 Ogos ini dengan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu, lelaki terbabit yang memakai baju lokap berwarna jingga dilihat keluar dari lokap mahkamah kira-kira pukul 9.20 pagi tadi.
Suspek ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang, di sini kira-kira pukul 9 malam tadi susulan penemuan mayat dua mangsa di dalam longkang belakang bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini pada petang semalam.
Kosmo! semalam melaporkan polis mengesahkan dua mayat yang ditemui itu adalah seorang wanita dewasa dan anak perempuannya.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, dua mangsa yang masing-masing berusia 34 dan 10 tahun itu ditemui dengan kesan kelar pada leher.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif kejadian.
Sumber – KOSMO! ONLINE