Suspek tikam ibu saudara masih di ICU, belum stabil

Oleh – Syeikh Baran


Suspek tikam ibu saudara masih di ICU, belum stabil

Suspek yang bertindak menikam ibu saudaranya dengan gunting sehingga mangsa maut pada Selasa minggu lalu dilaporkan masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.



Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Superintendan C. Tharmalingam berkata, suspek berusia 43 tahun itu bagaimanapun telah diberi jaminan polis petang semalam ekoran keadaannya yang belum stabil selepas menjalani pembedahan pada kepala.

Menurutnya, polis sebelum itu telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Pendakwa Raya (PPN) untuk tindakan selanjutnya.

“PPN mengarahkan pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan namun memandangkan keadaan suspek masih di ICU dan belum sedarkan diri, arahan jaminan polis diberikan kepada suspek.

“Pertuduhan ke atas suspek mungkin dijalankan sebaik keadaannya stabil nanti,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.



Dalam pada itu,mengulas lanjut, suspek yang merupakan seorang penganggur terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang setelah mengadu pening kepala, sebaik tangkapan dijalankan.

“Setakat ini, polis telah merekodkan sebanyak sembilan 9 keterangan daripada ahli keluarga dan jiran mangsa,” ujarnya.

Minggu lalu, media melaporkan cubaan seorang wanita warga emas meleraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditikam di kepala dengan gunting di sebuah rumah di Kampung Gelung Bubu, Pekan Darat.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.



Suspek kemudiannya diberkas pada hari sama dan polis turut mengesahkan yang lelaki itu tidak mempunyai laporan masalah mental.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button