Hidup daif, dadah punca lelaki bunuh isteri dan dua anak
Oleh – Syeikh Baran
Tekanan hidup dan masalah penagihan dadah disyaki menjadi punca lelaki gelandangan etnik Rohingya membunuh isteri dan dua anaknya pada Ahad lalu.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Deputi Komisioner Adzli Abu Shah berkata, suspek berusia 43 tahun dan isteri berusia 34 tahun bersama tiga anak berusia dua, lima dan 10 tahun hidup dalam keadaan daif.
Katanya, suspek sekeluarga sebelum ini pernah tinggal di bawah jambatan sebelum berpindah ke bangunan kosong dan terbiar di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, di sini sejak seminggu lalu.
“Keadaan keluarga ini daif dan tekanan hidup dipercayai menjadi antara punca kejadian bunuh berlaku.
“Selain itu, suspek juga didapati positif tiga jenis dadah iaitu amphetamine, methamphetamine dan mop,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) di sini hari ini.
Kata beliau, keadaan itu dipercayai mendorong kepada berlakunya keganasan rumah tangga seterusnya kes pembunuhan tersebut.
Adzli pada masa sama meminta orang ramai agar tidak membuat spekulasi berhubung kejadian itu dengan mengatakan kawasan tersebut sudah tidak selamat sehingga mampu mencetuskan kegusaran awam.
“Ini kerana kes ini membabitkan keganasan rumah tangga dan tidak melibatkan pihak lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata beliau, anak lelaki suspek yang ditemui selamat tidak mengalami kecederaan, namun didapati trauma.
Lelaki etnik Rohingya itu bertindak kejam apabila disyaki mengelar leher isteri dan dua anaknya sehingga mati sebelum ‘membuang’ salah seorang anaknya itu ke dalam longkang di Jalan Pegawai, di sini pada Ahad lalu.
Mayat dua beranak iaitu wanita berusia 34 tahun dan anak perempuan berusia 10 tahun ditemui di dalam longkang kecil di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuh Raya Sultan Abdul Halim, di sini kira-kira pukul 5.40 petang semalam.
Susulan penemuan dua mayat tersebut, polis berjaya menahan suspek berusia 43 tahun di pekarangan Masjid Al-Hidayah di Bukit, Pinang di sini bersama seorang anak lelaki berusia lima tahun yang selamat pada pukul 9.20 malam, hari sama.
Semasa ditahan, polis menemui sebilah parang dipercayai digunakan suspek untuk mengelar mangsa serta dokumen pengenalan diri isteri dan anak perempuannya.
Seterusnya, mayat anak yang dibuang ke dalam longkang iaitu kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dijumpai terdampar di tepi Pantai Leman dekat Kota Marina, Kuala Kedah kira-kira pukul 12 tengah hari tadi.
Sumber – KOSMO! ONLINE