Hukuman penjara penjual pisang goreng culik kanak-kanak ditambah 36 bulan

Oleh – Syeikh Baran


Hukuman penjara penjual pisang goreng culik kanak-kanak ditambah 36 bulan

Seorang penjual pisang goreng yang tular menculik dua kanak-kanak perempuan sebelum ini, terpaksa meringkuk lebih lama dalam tirai besi apabila Mahkamah Tinggi, di sini menambah penjara ke atasnya dari 24 bulan ke 36 bulan.



Hakim Norliza Othman menjatuhi hukuman tersebut selepas mendengar permohonan pihak pendakwaan sebagai perayu dalam prosiding semakan sabitan hukuman terhadap responden, Mohamed Shahriza Othman, 32.

Pada prosiding itu, bapa kepada dua anak itu dijatuhi hukuman penjara masing-masing 36 bulan bagi dua pertuduhan dihadapinya namun berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Besar pada 25 Julai lalu.

Mahkamah turut mengenakan denda keseluruhan RM6,000 atau empat bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Sejurus itu, Mohamed Shahriza dilihat sebak dan mengalirkan air mata ketika prosiding tersebut yang turut dihadiri tiga individu dipercayai ahli keluarganya.



Norliza dalam penghakimannya memaklumkan, kes itu telah mendapat liputan luas akhbar tempatan dan telah sampai ke pengetahuan serta menarik perhatian beliau terhadap hukuman yang telah dijatuhkan terhadap Mohamed Shahriza.

Justeru, katanya, beliau telah mengarahkan agar kes ini dipanggil untuk semakan menurut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Tambah Norliza, mahkamah ini telah dibekalkan dengan kertas pertuduhan, fakta kes, eksibit yang diterima masuk di Mahkamah Majistret berserta nota keterangan majistret dan berpuas hati bahawa sabitan ke atas responden adalah mengikut prosedur dan sabitan yang selamat.

“Berkaitan dengan faktor pengakuan salah sebagai mitigasi, prinsip yang mantap telah banyak diputuskan dalam kes-kes terdahulu bahawa ia bukanlah satu faktor yang secara automatik memberikan hak pengurangan hukuman kepada seseorang pesalah.



“Sekiranya itulah tujuan dan hikmah prinsip mitigasi tersebut, ia akan diambil kesempatan oleh semua penjenayah apabila ditangkap dan dipertuduhkan.

“Pada hemat saya faktor pengakuan salah sebagai mitigasi perlu diambil kira secara lebih holistik dan selari dengan peruntukan undang-undang yang menetapkan hukuman tertentu bagi sesuatu kesalahan,” katanya.

Berdasarkan teks penghakiman setebal 17 muka surat itu, walaupun tempoh masa kehilangan kedua-dua mangsa adalah kira-kira dua jam, namun ia bukan sesuatu perkara yang boleh diremehkan.

“Apa yang lebih penting adalah walaupun dalam tempoh sesingkat, trauma yang ditanggung oleh seorang ibu apabila mendapat tahu anak kecilnya diambil oleh orang yang tidak dikenali menaiki kereta tanpa diketahui arah dan tujuannya pastinya merupakan satu perkara yang tidak boleh digambarkan atau diterjemahkan dengan perkataan.



“Mengambil kira faktor umur mangsa di dalam kes ini, apalah daya mereka untuk melawan jika diperlakukan dengan perkara yang tidak sepatutnya dan lebih malang lagi sekiranya ditimpa musibah yang membawa kematian.

“Responden yang juga merupakan seorang bapa sepatutnya lebih memahami naluri ibu bapa berbanding dengan orang yang tidak mempunyai anak. Ironinya, bersandarkan kepada alasan terlampau menginginkan anak perempuan, responden bertindak menculik mangsa-mangsa di dalam kes ini,” katanya.

Jelas beliau, mahkamah ini memandang serius kesalahan culik dan membuat ‘judicial notice’ kepada beberapa kes culik yang telah mengemparkan negara kita seperti Nurin Jazlin yang berusia 8 tahun dan mayatnya ditemui dalam beg sukan selain Sharlinie Mohd. Nashar dan Muhamad Asmawi Jalaludin yang sehingga kini gagal ditemui selepas masing-masing hilang pada Januari dan Mac 2008.

“Saya berpendapat faktor kepentingan responden perlu diimbangi dengan kepentingan awam dalam kes ini dan hukuman yang dijatuhkan juga wajar bersifat pencegahan.



“Ini bukan sahaja kepada responden daripada terus mengambil kesempatan ke atas kanak-kanak tetapi kepada seluruh masyarakat khususnya ‘potential offender’ bahawa mahkamah tidak akan bertolak ansur terhadap perilaku jenayah culik terhadap kanak-kanak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad dalam permohonan menegaskan semakan keputusan yang telah dikeluarkan majistret perlu dilakukan bagi mengelakkan penetapan rujukan bagi kes akan datang yang melibatkan kesalahan penculikan dibawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

“Hukuman yang diberikan adalah sangat rendah dan tidak mencerminkan kepentingan awam dalam kes ini kerana melibatkan keselamatan kanak-kanak yang diculik dari penjaga yang sah serta melibatkan dua mangsa kanak-kanak,” ujarnya.

Mengikut dua pertuduhan, Mohamed Shahriza didakwa menculik dua kanak-kanak perempuan berusia enam dan lapan tahun di Taman Ikan Emas, Jeram, Kuala Selangor pada pukul 6.30 petang, 19 Julai lalu.



Dia didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Kosmo! pada 25 Julai lalu melaporkan tindakan penjual pisang goreng menculik dua kanak-kanak kerana menginginkan anak perempuan memakan diri selepas dihukum penjara 24 bulan oleh Mahkamah Majistret Sungai Besar.

Majistret Siti Hajar Ali menjatuhi hukuman itu selepas Mohamed Shahriza membuat pengakuan bersalah selain turut didenda 2,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button