Pasangan warga emas maut dirempuh pemandu van terlelap

Oleh – Syeikh Baran


Pasangan warga emas maut dirempuh pemandu van terlelap

Sepasang suami isteri warga emas maut selepas hampir empat jam bertarung nyawa di hospital susulan terlibat dalam nahas gara-gara pemandu sebuah van terlelap ketika memandu di Jalan Kandang, di sini, semalam.



Mangsa, Syahmzah Zainuddin, 69, serta isteri, Mariam Chik, 60, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Melaka kira-kira pukul 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kemalangan itu laporkan berlaku pada pukul 10.25 malam ketika pasangan terbabit dalam perjalanan dari arah Telok Mas menuju ke Bukit Piatu.

“Setiba di lokasi sebuah van jenis Perodua Rusa dipandu pemuda berusia 23 tahun yang dari arah bertentangan telah terbabas masuk ke laluan mangsa dipercayai kerana terlelap lalu merempuh motosikal ditunggangi warga emas berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, pasangan terbabit telah tercampak ke dalam longkang dan masing-masing mengalami kecederaan pada kaki, tangan dan paru-paru serta mulut koyak dan cedera di kepala,” katanya.



Mariam dan Syahmzah

Tambahnya, pada pukul 5 pagi tadi pihak polis menerima maklumat daripada pondok perhubungan hospital memaklumkan pasangan tersebut telah meninggal dunia ketika menerima rawatan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button