Politik toksik punca perpecahan orang Melayu – Mohamad
Oleh – Syeikh Baran
Timbalan Presiden UMNO mahu ‘politik toksik’ dibanteras habis-habisan dalam parti itu kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Malah kata Datuk Seri Mohamad Hasan, politik toksik itu juga akan menambah perpecahan dalam kalangan orang Melayu.
Ini kerana katanya, toksik yang melampau ini menjadikan orang ramai ‘antiakal’, ‘antikebenaran’ dan anti segala-galanya malah tidak mencerminkan peribadi UMNO.
“Politik toksik tidak akan menguntungkan sesiapa. Ia akan menambah perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Ia akan mencederakan budaya dan adab politik Melayu dengan kecederaan yang dahsyat.
“Ia sebenarnya telah memundurkan standard dan etika politik bangsa Melayu ke tahap paling rendah. Masa depan UMNO adalah sangat bergantung kepada keberkesanan kita untuk memerangi ‘politik toksik’ ini.
“Ingat, segala ucapan kebencian, merendah-rendahkan martabat orang, menggelar dengan pelbagai gelaran yang tidak elok, bukan cerminan sebenar peribadi dan akhlak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Sayap Wanita, Puteri dan Pemuda di Pusat Dagangan Dunia (WTC) malam ini.
Dalam ucapan sama, Mohamad berkata setiap tindakan buruk seseorang ahli UMNO akan memberi gambaran buruk pada parti secara keseluruhan.
“Janganlah hanya kerana nila setitik, ia menjadi gambaran pemikiran UMNO keseluruhannya. Kepada semua Wanita, Pemuda, dan Puteri, jadilah anda sebagai semua mereka yang membawa kesejukan dan redup mata kepada bangsa dan negara.
“Bukan pencetus, segala tindakan anti akal dan cetusan emosi yang dangkal. Yang menjadi fitnah dan titik hitam, pada bangsa dan agama. Perjuangkanlah kepentingan bangsa dan agama dengan hikmah,” katanya
Sumber – KOSMO! ONLINE