Tembak mati penjenayah warga Afrika: Baki suspek diburu, RM8 juta hasil curi dikesan

Oleh – Syeikh Baran


Tembak mati penjenayah warga Afrika: Baki suspek diburu, RM8 juta hasil curi dikesan

Polis sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang lelaki warga Afrika disyaki aktif kumpulan samun yang ditembak mati di Jalan PJS 9/1, di sini, semalam.



Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, elemen tumpuan siasatan termasuk mengesan aliran wang RM8 juta hasil samun dilakukan kumpulan tersebut.

“Selain mengenal pasti kemana wang berkenaan disalur atau digunakan, tumpuan kita juga pada masa ini adalah menjejak saki baki anggota kumpulan itu juga giat dijalankan.

“Mereka masuk ke Malaysia sejak 2017 dan kita tidak tahu bagaimana anggota kumpulan itu menyara hidup mereka di negara ini. Itu yang kita nak tahu, adakah dia mempunyai kerja lain, adakah mereka mempunyai bidang kerjaya profesional untuk sara hidup mereka di sini.

“Setakat ini, saya tidak boleh kata wang hasil rompakan dihantar ke negara asal, namun itu kita perlu siasat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Upacara Penutup Kursus Behavioral Science Unit (BSU) di Maktab Polis Diraja Malaysia, di sini, hari ini.



Kursus BSU anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Federal Bureau of Investigation (FBI) berlangsung pada 19 hingga 21 Ogos, disertai dua tenaga pengajar dari FBI Amerika Syarikat dan 24 pegawai kanan PDRM

Semalam, Kosmo! melaporkan seorang lelaki warga Afrika yang juga ahli kumpulan samun aktif sejak tahun 2018 ditembak mati pasukan polis.

Dalam kejadian pukul 7 petang itu, berlaku adegan tembak menembak antara seorang suspek berusia lewat 30-an yang menaiki kereta jenis Hyundai Matrix dengan anggota polis di lokasi kejadian.

Kumpulan yang lengkap bersenjata itu turut direkodkan terbabit dalam 45 kes jenayah samun dengan mencatatkan nilai kerugian mencecah RM8 juta.



Malah, kumpulan tersebut yang dipercayai dianggotai kira-kira 10 lelaki warga Afrika menyasarkan mangsa melalui urus niaga palsu sebelum bertindak mencuri barangan milik mangsa.

Sumber – KOSMO! ONLINE.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button