Bangsa, agama bukan senjata politik

Oleh – Syeikh Baran


Bangsa, agama bukan senjata politik

UMNO hari ini tidak lagi boleh menggunakan bangsa dan agama sebagai senjata politik untuk memenangi hati pengundi.



Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini disebabkan sentimen seperti itu sudah tidak sesuai dan terpakai dengan orang Melayu dalam kurun ke-21.

“Saya ingin tegaskan bahawa usaha membangun ketahanan bangsa Melayu pada masa ini mesti bersandar kepada kebolehsaingan. Tiada bangsa akan berjaya tanpa kebolehsaingan.

“Kita mesti menjadikan generasi Melayu itu lebih baik, lebih kompetitif, lebih berilmu dan lebih global,” katanya semasa ucapan penggulungan Naib Presiden di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Khalid berkata, pihaknya juga mahukan orang Melayu yang bijaksana dan menjadi pencetus revolusi baharu bagi kemajuan industri, digital dan ekonomi Malaysia.



Justeru, segala usaha mesti digembleng agar agenda mengarus perdanakan ilmu pengetahuan, kemahiran dan kebolehsaingan bangsa Melayu disokong dengan bersungguh-sungguh, selain tidak diambil mudah.

“UMNO tidak lagi boleh membiarkan pendidikan dan agenda meningkatkan kebolehsaingan orang Melayu menjadi hanya agenda kerajaan. Sebaliknya, UMNO atas kapasitinya sebagai sebuah parti mesti menjadi sebahagian daripada perkongsian penting dengan kerajaan untuk memajukan pendidikan dan kebolehsaingan bangsa,” katanya.

Sumber – KOSMO! ONLINE.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button