Pengusaha stesen minyak antara ditahan seleweng diesel nelayan

Oleh – Syeikh Baran


Pengusaha stesen minyak antara ditahan seleweng diesel nelayan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggempur satu sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi dipercayai menyeleweng minyak diesel milik persatuan nelayan serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu, Sarawak sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.



Dalam serbuan bersama Bahagian Operasi Khas (BOK) dan Skuad Taktikal Khas SPRM selain pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sebuah depoh penyimpanan minyak di Sungai Bidut, Sibu SPRM turut menyita dua tongkang serta beberapa tangki minyak membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, menerusi siasatan dan risikan dijalankan SPRM, sindiket dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2012 ini mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar pada kadar harga tertentu.

“Sindiket ini dipercayai memindahkan minyak diesel berkenaan daripada tangki-tangki yang dikhaskan untuk nelayan ke dalam tongkang berlabuh di depoh berkenaan.

“Kemudian, minyak daripada tongkang berkenaan dipercayai dipindahkan ke kapal-kapal milik pembeli dari negara luar pada waktu malam bagi mengelakkan kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.



Beliau berkata, dalam serbuan di depoh minyak berkenaan, terdapat dua tongkang yang sedang berlabuh dan masing-masing sudah diisi dengan kira-kira 160,000 dan 100,000 liter minyak diesel selain tedapat 30 tangki minyak yang dipercayai tidak mempunyai permit untuk menyimpan diesel terbabit.

Katanya, menerusi operasi ini, SPRM menahan lima individu membabitkan tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an di Pejabat SPRM Cawangan Sibu ketika keterangan mereka diambil sekitar pukul 4 petang hari ini.

“Mereka yang ditahan ini adalah empat pengusaha stesen minyak dipercayai menjadi dalang kegiatan penyeludupan minyak diesel, serta seorang orang tengah dipercayai terbabit urusan jual beli dengan pembeli luar.

“Susulan operasi ini, SPRM telah menyita wang tunai kira-kira RM3.7 juta, dua tongkang serta 30 tangki membabitkan kira-kira 1.6 juta liter diesel di depoh terbabit,” katanya.



Ujarnya, kesemua sitaan minyak diesel tersebut diserahkan kepada KPDN bagi tujuan penjualan semula kepada pelesen yang sah.

Kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Sibu bagi proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 16(b)(B) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009, selain Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button