UMNO perlu rencana anjakan sosial demi generasi akan datang
Oleh – Syeikh Baran
UMNO perlu melahirkan dasar baharu sesuai tuntutan semasa dan akan datang bagi memastikan generasi 50 tahun akan datang berada pada tahap yang lebih baik hasil anjakan yang dimulai hari ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, banyak perkara yang dibangkitkan oleh para pembahas bersangkutan dengan permasalahan dan realiti masyarakat yang menuntut parti itu merencana ‘anjakan sosial’.
“Anjakan sosial negara memberi maksud dan bertujuan membentuk bangsa Malaysia yang mempunyai keterangkuman dan inklusif yang merentasi sempadan agama, bangsa mahupun budaya. Seperti kata bidalan, ‘cubit peha kanan, peha kiri terasa’.
“Anjakan sosial ini mencerminkan sebarang peralihan dalam norma, nilai dan amalan sosial ke arah yang lebih baik yang memandu masyarakat.
Timbalan Perdana Menteri itu turut berkata, kebelakangan ini terlalu banyak isu sosial yang amat menyayat hati dan membimbangkan semua yang mana saban hari, kita mendengar kes pembunuhan yang kejam dan tak pernah terfikir oleh kita berlaku secara berleluasa.
“Kalau dulu anak hilang, mak ayah akan cari di rumah kawan mana dia lari. Tapi, hari ini kalau anak hilang, mak ayah ternanti-nanti di mana mayat anak nak ditemui.
“Ini antara kebejatan sosial yang semakin membimbangkan, untuk itu kita mesti tampil dengan pendekatan, menyantuni masyarakat dan melaksanakan program-program yang
mahu orang Melayu, rakyat kembali melihat UMNO sebagai sebuah parti yang tampil mencari penyelesaian,” katanya.
Sumber -KOSMO! ONLINE.