Gara-gara monyet melintas, enam sekeluarga terjunam ke parit

Oleh – Syeikh Baran


Gara-gara monyet melintas, enam sekeluarga terjunam ke parit

Enam penumpang kereta jenis Proton Iriz berdepan detik cemas setelah kenderaan dinaiki terbabas ke dalam parit di Kilometer 15, Jalan Selama-Bagan Serai di sini kelmarin.



Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, nahas berlaku apabila kereta dipandu seorang wanita menghala ke arah Bagan Serai itu mengelak sekumpulan monyet yang melintas di laluan tersebut.

“Selepas mengelak haiwan liar, kenderaan itu melanggar tiang elektrik sebelum terbabas ke dalam parit yang terletak di kanan jalan.

“Kesemua mangsa termasuk empat kanak-kanak berusia setahun hingga 13 tahun terjatuh dalam parit dan diselamatkan orang awam,” katanya hari ini.

Menurut Juna, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar dan menerima rawatan sebagai pesakit luar. Mereka tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan dibenarkan pulang pada hari sama.

“Pemandu kereta telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya yang memberitahu kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).



Terdahulu, sebuah video berdurasi 35 saat tular di media sosial memaparkan beberapa orang dewasa terjun ke dalam parit bagi menyelamatkan mangsa.

Sumber – KOSMO! ONLINE

 

 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button