Lelaki maut ditetak sekumpulan individu bertopeng

Oleh – Syeikh Baran


Lelaki maut ditetak sekumpulan individu bertopeng

Seorang lelaki maut selepas ditetak sekumpulan suspek bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, dekat sini, malam tadi.



Dalam kejadian pada pukul 8.39 malam itu, mangsa yang berusia 24 tahun itu cuba diselamatkan oleh adiknya dengan membawa lelaki berkenaan ke hospital, namun kedua-dua mereka dikejar suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Satu klip video berdurasi 25 saat berkaitan kejadian tersebut turut tular di media sosial sejak pagi tadi memaparkan pergaduhan sekumpulan individu berhampiran kawasan menunggu di hospital berkenaan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi ketika dihubungi berkaitan klip tular itu memberitahu, pergaduhan awal dipercayai berlaku di Taman Rim Baru apabila mangsa ditetak sekumpulan individu bertopeng.

“Selepas ditetak, mangsa sempat menghubungi adiknya berusia 22 tahun meminta tolong untuk membawanya ke hospital.



“Sejurus mangsa diturunkan di Unit Kecemasan Hospital Jasin, kereta adiknya tiba-tiba dikepung kumpulan sama yang kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, susulan serangan itu, adik mangsa terus memecut kenderaan dan melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang terletak kira-kira tiga kilometer bagi mendapatkan bantuan serta membuat laporan kes.

“Ketika cuba melarikan diri, pemuda itu turut melanggar sebuah ambulans hospital. Mangsa yang ditetak bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada 10.15 malam,” katanya.

Ahmad Jamil berkata, setakat ini polis berjaya menahan tiga suspek berusia 21,22 dan 31 tahun dan semua mereka direman sehingga 1 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat di talian 016-5209501 atau 06-529 2222 (sambungan 206).

Sumber – KOSMO! ONLINE

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button